Setiap orang khususnya wanita, tentu inginkan
betis yang cantik, halus dan licin. Caranya mudah sahaja. Sapukan setiap
pagi selepas mandi dengan minyak rambut atau minyak kelapa dan urutkan
perlahan-lahan.
Setelah lakukan demikian, betis anda akan kelihatan
halus dan mulus. Anda tidak perlu membuang duit untuk membeli minyak
untuk bayi atau losyen. Selain itu anda boleh juga mengurut betis anda
dua atau tiga hari sekali dengan menggunakan hampas kelapa yang telah
diperah santannya. Setelah itu urutlah lagi dengan air hingga menjadi
bersih.
Khusus bagi wanita, sekiranya selalu terasa sakit atau bengkak di pangkal buah dada, atasilah dengan petua ini. Ambil kayu atau teras pokok sepang. Asahkan dengan sedikit air. Campurkan sedikit kapur sirih. Sapulah ramuan tersebut berulang kali. Seelok-eloknya dilakukan pada waktu malam.
Sekiranya kepala anda terkena pukulan benda
keras seperti batu, kayu dan sebagainya hingga membenjol, segeralah
ambil asam jawa dan garam secukupnya. Masukkan air dan kacau hingga
kedua-dua bahan itu larut dalam air dan pekat. Sapukanlah air larutan
asam dan garam itu ke bahagian yang benjol. Insya-Allah dalam masa 15
minit, benjolan itu akan mengecil dan mengempis, kemudian hilang sama
sekali dari kepala anda.
Apabila seseorang disengat lipan atau lebah,
kesakitannya bukan sahaja terasa di bahagian yang disengatnya, malah
seluruh badan hingga ke rambutpun terasa sakitnya. Untuk mengubati bisa
sengatan itu, segeralah ambil biji asam jawa. Biji asam itu ditumbuk
sampai halus, tempelkan pada bahagian yang disengat. Insya-Allah dalam
beberapa saat sahaja, rasa sakit akan hilang.